Abu Sayyaf Bebas 9 Mangsa Culik Kerana Tiada Nilai Ekonomi

OMAR MAMMAH

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Sembilan daripada 10 mangsa yang diculik Abu Sayyaf di perairan Tambisan, Lahad Datu Selasa lalu telah dibebaskan pagi ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, kesemua mangsa kini dalam jagaan tentera Filipina di sebuah kawasan di kepulauan Jolo.

Katanya, maklumat diperoleh mendapati kumpulan Abu Sayyaf membebaskan sembilan mangsa itu kerana tidak mempunyai ‘nilai ekonomi’ yang dipercayai berkaitan tuntutan wang tebusan manakala nasib seorang lagi mangsa belum diketahui.

“Mangsa itu sudah diselamatkan oleh tentera Filipina. Maklumat terperinci belum diterima tetapi kemungkinan mereka dibebaskan kerana tiada nilai ekonomi,” katanya ketika dihubungi pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi ini, 18 Jun lalu, 10 daripada 16 nelayan yang dalam perjalanan dari Lahad Datu ke Semporna menaiki dua bot diculik sekumpulan lelaki bersenjata dipercayai anggota Abu Sayyaf.

Kesemua mangsa di culik di Tambisan, Lahad Datu sebelum dibawa ke Pulau Sitangkai di selatan Filipina.

Mangsa-mangsa adalah pemegang kad lepa-lepa atau kad burung-burung iaitu resit yang diberikan ketika datang ke Sabah pada masa itu.

Insiden tersebut adalah yang pertama pada tahun ini selepas kali terakhir pada pertengahan tahun lalu.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa berada di perairan tanpa permit dan melanggar perintah berkurung yang dilaksanakan pihak berkuasa.