Abdull Rahim Saad Dipilih Sebagai Presiden PERDASAMA Baharu

LABUAN: Mejar (B) Datuk Abdull Rahim Saad telah dipilih sebagai Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) yang baharu berkuatkuasa bagi penggal 2020/2023.

Dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini, PERDASAMA berkata Abdull Rahim dipilih sebulat suara oleh semua perwakilan yang hadir dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERDASAMA ke-22 di Kuala Lumpur pada 31 Disember 2020.

Abdull Rahim akan meneruskan kepimpinan Tan Sri Matshah Safuan yang telah melepaskan jawatan presiden untuk memberi laluan kepada kepimpinan baharu selepas menerajui PERDASAMA selama tiga tahun.

Matshah merupakan pengasas PERDASAMA selama 22 tahun bersama-sama Datuk Moehamad Izat Emir.

Abdull Rahim sebelum ini memegang jawatan sebagai naib presiden 1 selama 19 tahun dan tiga tahun sebagai timbalan presiden selain pernah menjadi Yang Dipertua PERDASAMA Kuala Lumpur.

Turut dipilih sebulat suara dalam pemilihan tersebut adalah Datuk Mohd Fauzi Zakaria sebagai timbalan presiden yang sebelum ini adalah setiausaha agung PERDASAMA dan bekas Yang Dipertua PERDASAMA Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Mohd Azamanizam Baharon dipilih sebagai naib presiden 1. Beliau merupakan Yang Dipertua PERDASAMA Selangor.

Selain itu, Abdull Rahim telah melantik Yang Dipertua PERDASAMA Sabah Datuk Junaidi Datuk Abdul Rahman sebagai setiausaha agung PERDASAMA yang baharu.

Menurut kenyataan itu, kepimpinan baharu PERDASAMA bertekad akan terus berusaha mengangkat persatuan itu sebagai wadah pembela pengusaha dan pedagang Melayu dan akan meneruskan perjuangan untuk menjadikannya sebagai satu platform memaju dan membangunkan usahawan-usahawan Melayu dan Bumiputera.

PERDASAMA sentiasa berharap akan menjadi persatuan yang sentiasa mendokong visi dan misi kerajaan, agar selari dengan hasrat kerajaan dalam menyampaikan mesej dan membantu usahawan-usahawan dalam pelbagai bidang dan sektor.