Abdul Rahim Pertahan Kenyataan Veveonah Tiada Peperiksaan

RAHIM BAKRI

Oleh NORA AHMAD
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri hari ini tetap dengan dakwaannya bahawa penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) Veveonah Mosibin tidak menjawab peperiksaan sehingga memanjat pokok bagi mendapatkan rangkaian internet sebelum videonya tular di media sosial.

Beliau menjelaskan bahawa siasatan dibuat menerusi seorang pegawainya sebaik mengetahui perkara itu berlaku di kawasannya.

“Saya telah meminta pegawai saya Ambang Sobul yang berasal dari Kampung Bilangau Kecil yang tinggal bersebelahan dengan Kampung Sepatalang dan hasil siasatan daripada laporannya bahawa dia bertemu dengan dua Ketua Kampung iaitu Elwin Madisa (Ketua Kampung Sepatalang) dan Edward Upak (Ketua kampung ilangau Besar) untuk meminta penjelasan terperinci berhubung tular seorang pelajar bernama Veveonah Mosibin sebagai pelajar UMS kononnya terpaksa memanjat  pokok untuk mendapatkan internet  untuk menduduki peperiksaan secara dalam talian di atas pokok.

“Keterangan kedua-dua ketua kampung itu, ibu dan bapa pelajar ini sudah lama tidak tinggal di Kampung Sepatalang kerana bapanya iaitu Mosibin Maraun @ Makrun adalah bekerja di Koperasi Pembangunan Daerah (KPD) di Pekan Pitas dan mereka sebenarnya menetap di Pekan Pitas yang ada khidmat internet.

“Sebenarnya dia tiada rumah di Kampung Sepatalang seperti yang dia dakwa. Oleh itu, bagaimana pelajar ini boleh mendakwa dia belajar di atas pokok di Kampung Sepatalang sedangkan dia sebenarnya tinggal di Pekan Pitas,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.

Abdul Rahim berkata, pelajar ini sebenarnya sengaja membuat drama tetapi perjalanan ceritanya tidak betul dan tidak berasas seperti sengaja mahu mendapatkan perhatian dan publisiti.

“Untuk kepastian pihak berkenaan boleh merujuk kepada kedua-dua Ketua Kampung yang telah memberi penjelasan latar belakang pelajar dan ibu dan bapa pelajar tentang tempat tinggal yang tetap,” katanya.

Malah menurut Abdul Rahim lagi, beliau juga sudah membuat siasatan terhadap seorang Dekan fakulti dan Pensyarah UMS sama ada peperiksaan dalam talian ada diadakan.

Jelasnya, pensyarah itu memberitahu pada ketika itu tiada peperiksaan dalam talian dan hanya sekadar kelas biasa.

Selain itu, pensyarah itu turut menyatakan kepada Abdul Rahim bahawa pihak universiti membenarkan pelajar tinggal di kampus sekiranya tiada jaringan Internet.

“Ada juga pelajar pilih untuk tinggal di kampus kerana jaringan kampung tidak kuat, putus-putus dan lain-lain.

“Jadi kami nasihat mereka untuk tinggal di kampus atau tinggal di pejabat daerah berdekatan, sekolah atau ke kampung terdekat,” kata pensyarah itu kepada Abdul Rahim.

Video Veveonah kembali mendapat perhatian selepas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin mengatakan ia adalah bertujuan untuk mendapatkan tontonan dalam rancangan Youtubenya.

Sehubungan itu, Abdul Rahim berkata dia curiga dengan perkara itu dan mengesyaki mungkin ada motif tertentu dari penerbitan video yang dimuat naik di Youtube dan ditonton seluruh dunia.

Abdul Rahim berkata, selepas liputan 4G semakin luas iaitu lebih baik berbanding beberapa tahun lalu mengguna ‘wireless village’ tetapi bukan bermakna tiada ‘blind spot’ terutama di kawasan berbukit bukau .

“Malah di Kuala Lumpur pun ada masalah terutama tempat terlindung atau kemudahan yang dirosakkan.

“Sudah dimaklumkan bahawa setiap pelajar  yang ada masalah seperti ini dibenarkan  tinggal di kampus universiti supaya pembelajaran mereka tidak terganggu dan ramai pelajar luar bandar dari seluruh negara memilihnya.

“Jadi apa keperluan pelajar itu membahayakan diri memanjat pokok dan dibuat video sedangkan dia ada pilihan hanya dengan berusaha sedikit ke Pekan Pitas sama ada menumpang di sekolah atau tempat awam yang mempunyai liputan baik dan pilihan terbuka luas.

“Malah difahamkan menurut sumber rumah ibu dan bapa Veveonah pun sebenarnya di Pekan Pitas. Jika terjatuh dari pokok itu sudah pasti malapetaka pada keluarganya dan akan menjadi tragedi pada negara,” katanya.

Selaku wakil rakyat saya tidak pernah sunyi berusaha dan meminta kemudahan yang terbaik untuk kawasan saya… 

BERITA BERKAITAN :-

MP Kudat Yang Bagi Info Tentang Veveonah – Zahidi