Abang Mangsa Ke New Zealand Malam Ini, Mahu Adiknya Dikebumi Di Sana

231
Dr Rumihati yang maut dalam kemalangan di New Zealand sempat merakam gambar kenangan bersama Menteri Kesihatan baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Beberapa ahli keluarga kepada rakyat Malaysia dari Sabah yang maut dalam kemalangan di New Zealand akan terbang ke negara itu malam ini bagi menguruskan mangsa.

Othman Abd. Hamid, abang sulung kepada Dr. Rumihati Abd. Hamid yang maut dalam kejadian itu berkata, dia bersama beberapa ahli keluarga lain akan meminta kebenaran pihak berkuasa di negara itu untuk membolehkan semua mangsa yang maut dikebumikan di Christchurch.

“Kami akan merayu supaya mereka dikebumikan di sana. Ini kerana Rumihati yang juga adik bongsu kami, sebelum bertolak ke New Zealand ada memaklumkan bahawa mereka mahu melawat masjid di Christchurch, yang menjadi sasaran pengganas pada Mac lalu.

“Sebab itu kami setuju mereka dikebumikan di sana kerana mereka tidak sempat melawat kawasan itu,” katanya seperti dilaporkan media hari ini.

Dalam kejadian pukul 3.10 pagi semalam, kereta dinaiki Rumihati bersama suami, Adnan Jeman dan tiga anak mereka bertembung dengan sebuah trak di jalan raya Koikura.

Kemalangan tersebut meragut nyawa pasangan berkenaan bersama seorang anak mereka, manakala dua lagi anak mangsa dilaporkan kritikal dan masing-masing menerima rawatan di Hospital Wellington serta Hospital Christchurch.

Keluarga tersebut dikatakan berada di New Zealand untuk bercuti sejak 2 Disember lalu dan ketika kejadian, mereka difahamkan dalam perjalanan ke Christchurch.

Sementara itu, Othman berkata, sehingga kini mereka masih belum mendapat apa-apa perkembangan mengenai situasi dua anak mangsa yang parah.

“Kami tidak pasti keadaan anaknya dan masih menunggu kepastian. Kami pun bingung dan sekarang hanya menunggu untuk sampai ke Christchurch saja,” katanya.