Abaikan Tugas Selaku Wakil Rakyat, Hafez Patut Letak Jawatan – Pritchard

2105
PRITCHARD GUMBARIS

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Hilang tanpa khabar berita selama hampir lapan bulan jelas memperlihatkan Ahli Parlimen Sipitang Yamani Hafez Musa seorang yang lari daripada tanggungjawab.

Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Pritchard Gumbaris berkata, tindakan bekas anak Ketua Menteri Sabah menghilangkan diri tanpa sebarang khabar adalah sesuatu yang menakjubkan. Sebaik sahaja dipilih sebagai Ahli Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Hafez terus menghilangkan diri. Ia jelas menunjukkan dia seorang yang tidak bertanggunggjawab.

Beliau berkata, Hafez menghilangkan diri tanpa sebarang sebab munasabah dan mengabaikan tugasnya sebagai ahli parlimen.

“Saya ingin mengingatkan Hafez bahawa tanggungjawabnya adalah menjaga rakyat di kawasan parlimennya. Rakyat di kawasan itu memerlukan perhatian daripada ahli parlimen yang mereka pilih dalam PRU lalu. Ini bukannya permainan golf dimana dia boleh menghilangkan diri sesuka hati.

”Kawasan parlimen lain sudah menunjukkan perkembangan…lapan bulan adalah satu tempoh yang cukup lama dan banyak perkara boleh dilakukan sepanjang tempoh itu.

”Di kawasan Penampang, sudah banyak pencapaian yang kita perolehi dalam tempoh lima bulan dan itu tidak termasuk aktiviti amal dan kebajikan yang sudah dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Isnin.

Pritchard berharap Hafez tidak akan menghilang sekali lagi selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen. Malah, beliau berpendapat Hafez seharusnya meletak jawatan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan supaya rakyat boleh memilih wakil yang boleh membela nasib mereka.

Hafez memenangi kerusi Parlimen P178 Sipitang selepas menewaskan calon Warisan dengan majoriti 850 undi semasa PRU 14 lalu.

Hafez hadir mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Sipitang dihadapan Yang DiPertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof pada 8.04 pagi Isnin.