Shafie Luangkan Masa Dengar Suara Hati Belia

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Dalam kesibukan berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal sempat meluangkan sedikit masa mendengar suara hati dan kehendak anak muda dalam program ‘Sabah Unity Movement’.

Program santai bersama belia yang berlangsung hampir sejam itu memberi ruang kepada Ketua Menteri Sabah itu untuk mendengar persoalan yang dibangkitkan oleh anak-anak muda.

Katanya, menerusi program itu beliau berpeluang mendengar luahan anak muda yang mahukan penghargaan dan citrasa mereka didengari. Ada antara mereka ini penari dan penyanyi serta penggiat industri kreatif.

Untuk itu, kerajaan perlu menyediakan landasan yang membolehkan mereka ini dapat mengembangkan bakat dan berjaya dalam industri seni kreatif.

“Saya melihat ini sebagai satu platform yang bukan hanya membolehkan suara anak muda kita dengar. Mereka ini bukan hanya ke bandar tetapi juga ke luar bandar bagi mendapatkan pandangan anak muda.

“Landasan ini juga membolehkan mereka mengenal antara satu sama lain biarpun terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Ini seiring dengan slogan perpaduan yang kita perjuangkan,” ujarnya.

Terdahulu dalam sesi perkongsian bersama belia, Mohd Shafie memberi jaminan untuk membantu penggiat industri kreatif di Sabah dalam aspek penyediaan kemudahan dan juga dana bagi mereka melaksana program.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan anak muda untuk melibatkan diri dalam politik kerana usia muda adalah masa yang tepat untuk terlibat dalam arena politik.

Katanya, beliau sendiri terlibat dalam politik pada usia muda kerana dikelilingi ahli keluarga yang merupakan ahli politik seperti Tun Sakaran Dandai.

“Sebagai seorang yang suka bertanding dan gemarkan cabaran, arena politik merupakan landasan yang tepat untuk saya untuk terus berkembang,” ujarnya.

Untuk menyertai politik pada usia muda, golongan belia perlu ada keyakinan diri dan minat agar mampu menjadi seorang ahli politik yang berjaya.