98 Peratus Pelajar IPT Di Sandakan Dibenarkan Pulang

CHRISTINA RUNDI

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Sebanyak 98 peratus pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Sandakan yang telah selesai pengambilan sampel akan dibenarkan pulang ke negeri dan daerah asal masing-masing.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, setakat ini hanya pelajar di Sandakan dan Kota Kinabalu sahaja yang belum selesai pengambilan sampel.

Untuk daerah lain, semua pelajar telah dibenarkan pulang setelah pengambilan sampel selesai dibuat.

Beliau berkata, di Kota Kinabalu pula, hanya 54 peratus pelajar telah diambil sampel dan akan dibenarkan pulang.

Katanya, itu antara proses yang dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bagi memastikan kelancaran pengurusan pergerakan pulang IPT di Sabah.

Tambahnya, pelajar hanya akan dibenarkan pulang setelah diambil sampel rongga hidung atau tekak (nasopharynx).

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Dalam pada itu, Christina berkata, JKNS juga akan melaksanakan aktiviti saringan bersasar dalam kalangan mereka yang berisiko. Aktiviti ini akan dimulakan di pusat jagaan warga emas.

“Aktiviti ini boleh mengesan awal jangkitan Covid-19, selain memastikan pusat jagaan mengambil langkah-langkah mencegah penularan jangkitan dalam kalangan penghuni tersebut.

“Sebagai permulaan, Pejabat Kesihatan Daerah Papar telah melaksanakan aktiviti pemeriksaan dan saringan warga emas di Holy Family Residence Papar,” katanya.

Jelasnya, kesemua penghuni dan kakitangan pusat itu dalam keadaan sihat dan sebanyak 49 sampel telah diambil.