98 Individu Terkandas Di Indonesia Diiring Masuk Ke Tawau

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Seramai 98 individu termasuk sembilan kanak-kanak yang terkandas di Indonesia berjaya dibawa masuk ke Tawau, sebelum dikuarantin di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau, di sini hari ini.

Terdahulu, kumpulan itu dibawa menaiki feri MV Labuan Express dari Nunukan, Indonesia, dan tiba di Terminal Feri Tawau sekitar pukul 10.20 pagi tadi, diiringi bot Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Hasil tinjauan dilakukan, sebaik berlabuh di terminal, pihak berkuasa bertindak melakukan semburan nyah cemar di bahagian dalam feri termasuk bagasi dan penumpang.

Selepas itu, kerja mengangkat bagasi penumpang mula dilakukan dan petugas berkaitan melakukan semburan nyah cemar sekali sebelum dibawa masuk ke dalam bangunan terminal.

Kemudian, penumpang feri dilihat mula diarahkan keluar menuju ke jeti sebelum pemeriksaan Imigresen dilakukan.

Semua penumpang feri itu dibawa menaiki 13 kenderaan agensi pihak berkuasa terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum dihantar ke IPG Kampung Tawau untuk pemantauan dan kuarantin.

Proses membawa pulang rakyat Malaysia ini memasuki siri ketiga selepas kerajaan negeri memberi kebenaran khas sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilakukan.

Dua operasi terdahulu membawa masuk 30 rakyat Malaysia yang terkandas di Nunukan termasuk 24 jemaah tabligh pada 21 dan 29 Mac lalu.

Sebelum ini, seramai 168 orang rakyat Malaysia terkandas di Nunukan mendapat perhatian segera Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang meminta agensi berkaitan kerajaan termasuk Pembantu Menteri Kewangan Sabah Sarifuddin Hata menyelaras usaha terbabit.