95 Peratus Penduduk Luar Bandar Akan Nikmati Kemudahan Asas Lebih Baik Menjelang 2025

143
Rina harun, kanan, bersa,a Shafie Apdal dan Madius Tangau ketika sidang media.

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar menyasarkan 95 peratus penduduk luar bandar akan menikmati kemudahan infrastruktur asas yang lebih baik menjelang 2025.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai menerusi Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030.

Beliau percaya kemudahan infrastruktur yang lebih baik di kawasan luar bandar ini akan turut menarik kemasukan pelabur ke kawasan luar bandar. Usaha itu sekaligus akan membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan di luar bandar.

“Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM1.14 juta kepada Sabah pada tahun ini bagi pelaksanaan projek prasarana asas di kawasan luar bandar.

”Sehingga 31 Julai lalu, kira-kira RM200juta telah dibelanjakan,” katanya semasa Sidang Media selepas perasmian Karnival Usahawan Desa Zon Sabah, di sini Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Likas pada Sabtu.

Bagi membantu memasarkan produk tempatan yang dihasilkan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), beliau berkata, kementeriannya dalam proses berbincang dengan Malaysia Airport Berhd (MAB) bagi menempatkan dan mempromosikan produk tempatan di enam lapangan terbang di seluruh Malaysia termasuk di Lapangan Terbang Antarbangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Mengenai Karnival Usahawan Desa (KUD) itu, Rina berkata, karnival yang disertai 350 orang usahawan itu menyasarkan kutipan jualan berjumlah RM3juta bagi tempoh tiga hari karnival berlangsung (23-25 Ogos).

”Ini karnival ketiga yang diadakan selepas Pulau Pinang dan Terengganu. Sehingga kini, lebih 1,000 orang usahawan telah mendapat manfaat daripada karnival ini.

”Acara kemuncak akan diadakan di Putrajaya pada Oktober ini dan ia dijangka akan menarik penyertaan 5,000 orang usahawan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau mahu agar hubungan baik kementeriannya dengan Kerajaan Sabah terus diperkukuh bagi memastikan perancangan pembangunan di kawasan luar bandar di Sabah dapat dilaksana dengan berkesan.