90,000 Permohonan Pemilikan Tanah Di Sabah

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Sebanyak 90,000 permohonan pemilikan tanah di seluruh negeri sedang dalam proses penelitian Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU).

Pengarah JTU Bernard Liew berkata, jumlah itu terdiri daripada pelbagai kategori permohonan termasuk Geran Tanah Anak Negeri (NT).

Bernard Liew

“Dalam kes ini, berlaku pertindihan permohonan membabitkan beberapa pihak.

“Proses ini pastinya mengambil masa untuk diselesaikan kerana memerlukan JTU membuat siasatan terperinci termasuk turun ke lokasi bagi mengetahui pihak yang berhak ke atas tanah berkaitan,” katanya ketika ditemui Borneo Today, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Penyerahan Lot Penempatan Mangsa Kebakaran Kampung Tanjung Batu Otentik dan Geran Tanah Di Daerah Tawau dan Kalabakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di Dewan Masyarakat Tawau.

Tambah Bernard, sebelum ini pihaknya pernah menerima sehingga 300,000 permohonan dan jumlah itu kini berkurangan kepada 90,000.

“Hari ini, sebanyak 318 Geran NT membabitkan keluasan tanah lebih 400 hektar berjaya diserahkan kepada penduduk di Tawau dan Kalabalan.

“Ada sebahagiannya adalah permohonan lama yang sudah berlarutan sehingga 50 tahun,” katanya.

Daripada jumlah itu, 242 geran tanah diserahkan kepada pemilik Skim Murut di Kampung Ulu Murut, Kalabakan, manakala selebihnya membabitkan lima buah kampung sekitar Merotai, Balung dan Pulau Sebatik.

“Saya menasihatkan kepada penerima geran tanah NT supaya mengusahakan (tanah), bukan menjualnya,” katanya.