9 Kampung Di Kinabatangan Kini Bergeran, Tanah Penduduk Dipulangkan

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KINABATANGAN: Kehadiran Ketua Menteri di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan hari ini memberi khabar gembira kepada penduduk di sembilan buah kampung yang selama ini tinggal di kawasan ‘setinggan’ berikutan tindakan kerajaan terdahulu menjadikan tanah itu sebagai rizab hutan.

Penantian mereka untuk menghalalkan tanah diduduki berakhir apabila menerima sendiri geran daripada Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal selepas kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) mewartakan tanah-tanah berkenaan sebagai perkampungan yang sah.

Selain geran untuk perkampungan, sebanyak 240 geran tanah turut diserahkan Ketua Menteri kepada rakyat Kinabatangan dari 36 buah kampung yang telah membuat permohonan untuk memiliki tanah sejak sekian lama.

“Pada hari ini sebanyak 240 geran tanah Anak Negeri yang telah kita serahkan dan di samping itu kita juga telah wartakan perkampungan daripada rizab hutan.

“Sembilan kampung di kawasan Kinabatangan yang dahulu menjadi rizab hutan orang ada di kampung itu dan kita keluarkan daripada rizab hutan jadi kita iktiraf perkampungan itu sebagai penempatan rakyat di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan 240 Geran Tanah Daerah Kinabatangan membabitkan 36 buah kampung dengan keluasan tanah keseluruhan 478.5 hektar.

Kampung-kampung terlibat adalah Kampung (Kg) Sentosa Jaya, Kg Perpaduan, Kg Batu Putih, Kg Sinar Jaya, Kg Nusa Jaya, Kg Usaha Jaya, Kg Sri Manis, Kg Buang Sayang, Kg Berjaya 1, Kg Berjaya 2, Sungai Balat, Kg Bilit, Kg Sukau, Sungai Bogologos, Bukit Garam, Sg Kretam Besar, Kg Litang, Koyah dan 18 yang lain.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), Bernard Liew dan Pegawai Daerah Kinabatangan, Suhaimi Ejip.

Ketua Menteri berkata, rakyat di Kinabatangan tidak perlu terlalu risau kerana kerajaan akan berusaha memastikan mana-mana tanah yang menjadi hak rakyat akan diserahkan kepada mereka.

“Saya ingat ada di antara mereka ini yang tunggu, itu merupakan satu kawasan yang dirizab oleh kerajaan negeri lebih daripada 20 ke 30 tahun,” katanya.

Sementara itu, Suhaimi berkata, urusan memastikan tanah rakyat di Kinabatangan diberikan geran berjaya dilakukan kerana keikhlasan dasar pentadbiran kerajaan sekarang.

“Jika kita amati pentadbiran kerajaan dahulu yang kini caretaker sebenarnya kita melihat ketelusan mereka ini dalam menangani isu-isu permasalahan yang mana kebanyakan rakyat tempatan ini masih  merempat di tanah sendiri.

“Mereka telah menduduki kawasan itu puluhan tahun sejak nenek moyang mereka lagi, namun untuk mendapatkan status sebenarnya mereka masih lagi menunggu begitu lama kerana terdapat birokrasi tertentu,” katanya.