88 Mahasiswa UMK Dari Sabah, Sarawak Tidak Balik Kampung

KOTA BHARU: Seramai 88 penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dari Sabah dan Sarawak tidak pulang beraya di kampung halaman masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Noor Azizi Ismail berkata, 50 daripada mereka tinggal di kampus, manakala 38 penuntut tinggal di rumah sewa sekitar universiti.

Katanya, berikutan itu, pihak universiti akan terus memantau keadaan kesemua mahasiswa berkenaan.

“Mereka yang tidak pulang ini adalah penuntut dari Sabah, Sarawak dan pelajar antarabangsa. Mereka tidak pulang atas beberapa alasan tertentu termasuk capaian internet yang lemah di tempat mereka untuk membuat tugasan.

“Sepanjang PKP ini, 950 daripada 1,000 penuntut UMK sudah pulang ke rumah masing-masing selepas kerajaan mengumumkan keputusan membenarkan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) pulang secara berperingkat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mengenai pembelajaran kebiasaan baharu secara maya sepanjang PKP di kalangan pelajar universiti itu Noor Azizi berkata ia bukan perkara baharu kerana pembelajaran cara itu sudah bermula sejak 2015 namun ia belum dilaksanakan sepenuhnya.

Bagaimanapun katanya dalam keadaan pandemik COVID-19 sekarang ianya menjadi pilihan utama pelajar supaya mereka tidak ketinggalan.

“Sekiranya penuntut kita berhadapan dengan masalah capaian internet yang teruk dan mempunyai masalah kewangan untuk membeli data internet, kami akan bantu, namun bagi kawasan yang tidak mempunyai liputan langsung ia agak sukar untuk mereka,” katanya.