87 Kontinjen Bagi Acara Perbarisan Sempena Hari Jadi Rasmi TYT Sabah

Radin berbual dengan Tun Juhar semasa sesi kunjungan hormat itu.

KOTA KINABALU: Sejumlah 87 kontingen akan mengambil bahagian dalam acara perbarisan sempena Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah bertempat di Padang Merdeka Kota Kinabalu pada 7 Oktober ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Tahun 2017, Radin Malleh, selepas acara perbarisan itu juga, majlis istiadat pengurniaan darjah-darjah kebesaran negeri Sabah akan berlangsung di Istana Negeri, manakala majlis makan malam oleh kerajaan negeri Sabah akan diadakan di dewan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah.

Aktiviti-aktiviti lain ialah Pameran Dirgahayu Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 17 Oktober di Muzium Negeri Sabah, Jamuan Teh bersama Anak-anak Istimewa dan Yatim pada 19 Oktober, Pameran Karier Pilihan pada 20 Oktober di Hotel Hilton, Kejohanan Golf Kenamaan di Dalit Bay Golf and Country Club, Pantai Dalit Tuaran pada 21 Oktober, Kejohanan Berbasikal di Beaufort pada 22 Oktober dan acara kemuncak ialah Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah pada 31 Oktober 2017 di Hotel Pacific Sutera, Kota Kinabalu, kata Radin.

Radin menyampaikan cenderakenangan kepada Tun Juhar selepas kunjungan hormat berkenaan.

Radin yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah berkata kepada media selepas kunjungan hormat jawatankuasa itu ke atas Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bertempat di Istana Negeri Sabah, Kota Kinabalu hari ini.

“Tujuan kunjungan hormat ini adalah memaklumkan aktiviti-aktiviti sempena Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah serta menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun Juhar untuk hadir ke acara-acara berkenaan.

“Raptai untuk acara perbarisan yang melibatkan penyertaan dari sektor awam, swasta, badan-badan bukan kerajaan serta para pelajar itu akan berlangsung pada 7 Oktober itu akan diadakan dari 4 sehingga 5 Oktober.

“Orang ramai dijemput hadir menyaksikan acara perbarisan pada hari itu bagi memeriahkan lagi suasana sambutan Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah pada tahun ini,” katanya.

Turut serta dalam kunjungan hormat itu ialah Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Masiung Banah, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Haji Awang Damit Haji Awang Anak, Mayor Kota Kinabalu, Yeo Boon Hai serta wakil-wakil jabatan serta agensi negeri dan persekutuan yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti berkenaan.