86 Rumah Setinggan Musnah Dalam Kebakaran Di Kinabutan, Tawau

Kebakaran rumah setinggan di Kg Kinabutan Kecil, Tawau.

TAWAU: Sebanyak 86 buah rumah setinggan musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Kinabutan Kecil, Jalan Apas Batu 4, Tawau, di sini pada Rabu.

Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba & Penyelamat (JBPM) menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian kebakaran di kawasan setinggan seluas dua ekar itu pada 10.36 pagi.

Sebanyak dua buah jentera, sebuah tanker serta sebuah EMRS diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Tawau Sharudy Delamin bersama 33 orang pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kebakaran.

Kawasan kediaman setinggan seluas 2 ekar yang musnah dalam kebakaran berkenaan.

Kebakaran berjaya dikawal pada 11.36 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada 1.45 petang.

Turut terlibat dalam operasi itu adalah anggota polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.