8 Terlibat Dadah Ditahan Di Sinsuran, Kampung Air

650

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Lapan lelaki yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah ditahan dalam Op Sarang yang dijalankan polis di sekitar Sinsuran dan Kampung Air bermula pukul 2 pagi hingga 9 pagi ini.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, dalam operasi selama tujuh jam itu, pihak berkuasa turut merampas enam paket syabu seberat 6.4 gram dan bernilai RM1,000 daripada beberapa suspek.

“Hasil maklumat risikan, sebanyak 27 individu diperiksa dan hasilnya berjaya menahan lapan orang yang terlibat menyalahgunakan bahan terlarang itu.

“Sebanyak 24 pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Kontinjen Sabah terlibat dalam Op Sarang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Habibi berkata, Op Sarang dilancarkan pihak berkuasa ke atas sarang-sarang penagihan dadah bagi membendung aktiviti jenayah itu daripada berleluasa.

“Usaha untuk membanteras pengedaran dan penagihan di sekitar daerah Kota Kinabalu akan diperhebat dan dipertingkatkan dari masa ke semasa.

“Orang ramai dialu-alukan membantu pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah narkotik ini agar dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya.