789 Kes Kesalahan Ceroboh Hutan Simpan Di Sabah Sejak 2012

lllll
Unit K9 yang dilancarkan oleh Jabatan Perhutanan Sabah untuk memberantas pencerobohan hutan.

SANDAKAN – Sebanyak 789 kes kesalahan pencerobohan Hutan Simpan dicatatkan dari 2012 hingga September lepas.

Sam Mannan
Sam Mannan

Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah Datuk Sam Mannan berkata daripada jumlah itu 62 kes membabitkan kesalahan pencerobohan hutan simpan, 86 (penebangan pokok di tanah kerajaan), 197 (memiliki kayu tanpa dokumen dan belum berbayar cukai) dan selebihnya adalah pelanggaran syarat-syarat lesen.

Katanya dalam tempoh tersebut seramai 486 orang telah ditangkap atas pelbagai kesalahan hutan.

Daripada jumlah tersebut seramai 192 orang telah dibicarakan dan telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, katanya dalam siaran akhbar sempena pelancaran Skuad SFD Protect dan perasmian Bangunan Unit K9 jabatan itu di sini.

Menurutnya nilai rampasan dalam bentuk kayu balak yang telah dilelong berjumlah RM1.73 juta dan jentera serta peralatan berjumlah 299 unit yang telah dilucut hak milik dan dilelong bernilai RM495,120.

Beliau menjelaskan kesalahan hutan yang berlaku dalam Hutan Simpan bagi kategori pembalakan haram di bawah peruntukan Seksyen 20(2) Enakmen Hutan 1968 adalah 63 kes sepanjang tempoh sama.

Sam yang juga Ketua Konservator Hutan negeri berkata pencerobohan hutan simpan untuk penanaman di bawah peruntukan Seksyen 20(1)(b)(iii) Enakmen Hutan 1968 adalah 70 kes.