75 PATI Naik Bas Menuju Tawau Ditahan; Bayar Tambang RM1,200

2096
NASARUDDIN NASIR

KUNAK: Seramai 75 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menaiki dua bas ekspres menuju Tawau ditahan dalam sekatan jalan raya di sini semalam (Jumaat).

Ketua Polis Daerah Kunak, Supt Mohd Nasaruddin M Nasir berkata mereka yang dipercayai dalam perjalanan dari Sandakan menuju Tawau ditahan di Kampung Simpang Empat pada pukul 12.50 tengah hari dan di Jalan Kampung Lormalong pukul 2.10 petang.

Beliau berkata mereka didapati tidak mempunyai dokumen diri yang sah.

Nasarudin berkata para PATI itu dikenakan tambang sebanyak RM1,200 bagi perjalanan daripada Sandakan menuju Tawau yang tambangnya akan dibayar apabila sampai ke destinasi mereka di Indonesia.

Gambar hiasan. Tangkapan PATI diatas dilakukan di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Kes disiasat di bawah Akta Anti Permerdagangan Orang Dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

QRF DILIBATKAN DALAM TUGAS KHAS OP PASIR DI SABAH

Di SEMPORNA, Pasukan Tindakan Pantas (QRF) akan dilibatkan dalam tugas khas Op Pasir di Sabah, kata Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2), Brig Jen Zarondin Md Amin.

Beliau berkata QRF akan terlibat sebagai operasi pemintasan serta siap siaga bagi sebarang ancaman yang berlaku di perairan negeri ini.

“Elemen QRF ini juga akan digunakan dalam melaksanakan tugas bersama untuk mencegah kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI), aktiviti penyeludupan, pencerobohan di sempadan perairan negeri Sabah serta kegiatan penculikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Serah Terima Tugas QRF antara pasukan Batalion ke-9 Rejimen Askar Melayu Diraja 9 RAMD (PARA) dan Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja 18 RAMD (PARA) di Jeti Azumi di sini.

Majlis itu disempurnakan dengan proses menandatangani Dokumen Serah Terima Tugas di antara Pegawai Memerintah 9 RAMD (PARA), Mejar Mohd Tajudin Mohd Yasin dan Pegawai Memerintah 18 RAMD (PARA), Kapt Muhamad Haiqal Roslan dengan disaksikan Zarondin.