72 Pesalah Dadah Ditahan Sekitar KK

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU : Polis menahan seramai 72 individu, termasuk tiga pengedar dadah menerusi OpIce Breaker di sekitar Pekan Inanam, Kampung Likas dan Sinsuran yang bermula 15 Februari lalu dan berakhir semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, daripada jumlah tersebut 14 individu lain ditangkap bagi kesalahan memiliki dadah yang di siasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952.

“Dua individu lagi ditahan di bawah Seksyen 6 ADB 1952 manakala 53 individu lain di siasat dibawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 bagi tangkapan urin positif dadah,” katanya.

Habibi berkata, kesemua tangkapan berumur 13 hingga 55 tahun manakala 55 individu ditahan adalah warga tempatan dan 17 lagi warga asing.

Beliau berkata, sepanjang operasi dijalankan, pihaknya berjaya merampas 15.44 gram dadah jenis syabu dan 0.95 gram dadah jenis ganja yang dianggarkan bernilai RM2,335 mengikut harga pasaran semasa.

“Usaha untuk membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar daerah ini sentiasa diperhebat dari masa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam.

“Bantuan orang awam juga diperlukan dengan menyalurkan maklumat ke hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529220 untuk tindakan polis,” katanya.