70 Lelaki Ditahan, 70 Senjata Api Tiruan Gelsoft Dirampas

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Kegembiraan sekumpulan 70 lelaki untuk bermain sukan ekstrem Gelsoft tidak kesampaian apabila kesemua mereka ditahan polis kerana memiliki 70 senjata api tiruan yang digunakan untuk permainan tersebut.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, dalam serbuan pada Ahad lalu, pihaknya merampas kesemua 70 senjata api tiruan itu yang bernilai lebih RM21,000.

Menurut beliau, kesemua lelaki tempatan yang berusia lingkungan 21 hingga 36 tahun turut ditahan namun kemudiannya dibebas atas jaminan polis.

“Pada 16 Februari lalu pukul 3 petang, sepasukan polis dari Bahagian Pelesenan Bukit Aman dan IPK Sabah, Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sabah dan IPD Penampang telah membuat serbuan di satu lokasi di daerah Penampang yang menempatkan sebuah tapak sukan ekstrem Gelsoft.

“Hasil pemeriksaan, kira menahan seramai seorang penganjur dan 69 pemain, dengan kesemua tangkapan adalah lelaki berusia 21 hingga 36 tahun yang merupakan warga tempatan.

“Turut dirampas adalah 62 laras Gel Blaster jenis Rifle, enam laras Gel Blaster jenis Sub Mesingan, dua laras Gel Blaster jenis M4 dan 128 unit magazin Gelsoft,” katanya.

Zaini berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kota Kinabalu, pada Selasa.

Hadir sama adalah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Haris Ibrahim.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, polis menyifatkan pemilikan senjata tiruan ini masih salah disudut undang-undang dan mampu memberikan impak negatif di kalangan masyarakat awam.

Jelasnya, kesemua pemain yang ditahan dalam kejadian itu dikenalpasti bernaung di bawah persatuan sukan ekstrem berkenaan tetapi pemilikan senjata api terbabit menyalahi undang-undang.

“Secara khususnya, pemilikan komponen Gel Blaster ini dikategorikan sebagai senjata tiruan.

“Pemilik boleh disiasat dan dituduh mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum satu tahun, denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau dalam pada itu menambah, siasatan awal yang dijalankan kepada penganjur dan pemain ditahan tidak mengetahui pemilikan senjata api jenis Gelsoft Blaster dimiliki adalah menyalahi undang-undang.

Kesemua senjata api terbabit disyaki dibeli melalui proses dalam talian.