7 Rumah Sewa Dikesan Sambung Air Paip Secara Haram Di Kinabatangan

Gambar hiasan sahaja

SANDAKAN: Unit Penguat Kuasa Jabatan Air Negeri Sabah mengesan tujuh rumah sewa dan lima rumah pekerja melakukan penyambungan air paip secara haram dalam satu operasi bersepadu di Kampung Berjaya Kinabatangan, semalam (Isnin).

Penolong Jurutera Air Bahagian Sandakan jabatan itu Richard Lee berkata berikutan itu, pemilik premis rumah sewa dikompaun RM18,000 mengikut Seksyen 50 Enakmen Bekalan Air Sabah 2003.

Katanya pemilik premis rumah pekerja dikompaun RM9,000 di bawah Seksyen 49(b) enakmen yang sama.

Operasi Bersepadu yang dilaksanakan di Kinabatangan bermula sejak Isnin lepas dan berakhir semalam mencatatkan 11 kes penyambungan haram air paip dan sejumlah RM28,100 kompaun dikeluarkan, katanya di sini, Selasa.

Operasi tersebut dilaksanakan berikutan masalah bukan hasil air yang tinggi dihadapi jabatan itu dan menyebabkan ada beberapa kawasan yang mengalami tekanan air rendah.

Menurutnya tindakan penguatkuasaan lebih proaktif diambil bagi menangani masalah tersebut agar bekalan air paip dapat disalurkan kepada pengguna dengan tekanan air yang optimum.

Richard berkata pihaknya juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang kes kecurian atau kebocoran air paip dengan segera kepada Jabatan Air Kinabatangan di talian 08-9561970.