7 PATI Ditahan Di CIQ Tawau

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita ditahan dalam Op Pluto Timur, di perairan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) lama, di sini kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim V Siva Kumar berkata, dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, semua suspek yang berumur antara 13 hingga 51 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika ditahan.

“Terdahulu, anggota bertugas mengesan sebuah bot penumpang bergerak dari Tawau menuju ke Pulau Sebatik dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menemukan seorang juragan dan enam penumpang warga Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, suspek dipercayai cuba menyusup keluar dari Tawau secara haram.

“Malah nama juragan yang mengemudi bot juga berbeza dengan nama pada lesen bot yang dikemukakan kepada Maritim Malaysia.

“Sehubungan itu, semua suspek ditahan dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.

“Bot turut dibawa ke jeti Maritim Maritim bagi membantu siasatan,” katanya.