68 Ditahan Terlibat Dadah Termasuk Kakitangan Awam

636
Anggota polis memeriksa beberapa individu dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah di sekitar Kota Kinabalu.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu mempergiat usaha memerangi pengedaran dan penyalahgunaan dadah melalui beberapa operasi yang dijalankan di sekitar daerah ini.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, dalam tempoh seminggu bermula 4 Januari hingga hari ini, sebanyak 68 individu ditahan dan disiasat atas kesalahan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, tangkapan tersebut turut melibatkan 15 individu yang didapati memiliki serta membekalkan bahan terlarang berkenaan.

“Daripada 68 yang ditahan, 11 adalah warga asing dan selebihnya rakyat tempatan termasuk kakitangan awam yang kesemuanya berumur antara 20 hingga 50 tahun.

Sebahagian suspek yang ditahan kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

“Seorang kakitangan awam ini disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 20.62 gram syabu dan 50.14 gram pil kuda dirampas dalam tempoh itu dan kesemuanya bernilai RM10,600.

Menurutnya, kes-kes turut disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

“Usaha membanteras pengedaran dan penagihan di sekitar Kota Kinabalu akan diperhebat lagi dari masa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman orang awam.

“Orang ramai dialu-alukan menyalur maklumat berkaitan jenayah ini kepada pihak polis untuk tindakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Kinabalu,” jelas beliau.