66 Ditahan Terlibat Najis Dadah Di Kota Kinabalu

233
Suspek yang ditahan dalam Op Sarang di sekitar Kota Kinabalu.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Sebanyak 66 individu termasuk remaja berusia 15 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam Op Sarang membanteras dadah bermula 3 Ogos hingga 9 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, dalam operasi tersebut, pihaknya turut merampas 101.31 gram syabu dan 8.50 gram ganja yang bernilai RM5,235.50 di pasaran.

Katanya, operasi tersebut dijalankan di Kampung Kalansanan, Kampung Kandang Ayam dan Kampung Sembulan.

Polis menahan salah seorang suspek dalam Op Sarang.

“Sebanyak 66 tangkapan telah berjaya ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, kejayaan terbesar pada minggu ini ialah tangkapan yang melibatkan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, diikuti Seksyen 39(A)(2), Seksyen (A)(1) dan Seksyen 15(1)(A) juga akta yang sama.

“Lima individu ditangkap melibatkan kategori bekalan dan pengedaran dadah, 13 individu bagi kesalahan memiliki dadah, diikuti 48 individu melibatkan kesalahan urin,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut beliau daripada jumlah tersebut, 57 yang ditahan adalah warga tempatan dan sembilan lagi warga asing.

Anggota polis mengatakan sesuatu kepada salah seorang individu yang ditahan dalam Op Sarang baru-baru ini.

Habibi berkata, Op Sarang itu akan dijalankan secara berterusan di sekitar Kota Kinabalu bagi membanteras jenayah pada musim cuti sekolah.

“Usaha untuk membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar daerah Kota Kinabalu sentiasa diperhebat dari masa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam.

“Bagi mempertingkatkan lagi pembanterasan jenayah dadah, usaha sama daripada orang awam juga diperlukan dengan menyalurkan maklumat ke hotline IPD Kota Kinabalu di 088-529220 atau ke akaun Facebook Polis Daerah Kota Kinabalu,” tambah beliau.