65 Pengusaha Pelancongan Kadamaian Terjejas Akibat Covid-19 Dan Banjir

Oleh SURAYA SHANAZ
KOTA BELUD: Belum sampai sebulan membuka semula aktiviti pelancongan di Kadamaian selepas ditutup Mac lalu, kira-kira 65 pengusaha pelancongan di situ kini berdepan masalah banjir pula.

Presiden Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA), Walter Kandayon berkata, aktiviti pelancongan di Kadamaian ditutup pada Mac lalu, susulan penularan wabak Covid-19 sekali gus memberi kesan ke atas industri itu di kawasan berkenaan.

“Kami beroperasi semula pada awal Jun lalu selepas aktiviti pelancongan dibenarkan dengan membabitkan hanya 25 daripada 65 pengusaha setakat ini.

“Penularan wabak Covid-19 memang memberi kesan besar ke atas aktiviti pelancongan sekali gus pendapatan pengusahanya kerana kegiatan pelancongan adalah ekonomi kedua penting di Kadamaian selepas pertanian.

“Bagaimanapun, kejadian banjir baru-baru ini turut menjejaskan beberapa  pengusaha yang baharu beroperasi, contohnya di kawasan Melangkap, beberapa kejadian tanah runtuh memutuskan hubungan dengan kawasan lain sekali gus pelancong tidak dapat ke Melangkap untuk beberapa hari,” katanya ketika dihubungi Borneo Today di sini hari ini.

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula 10 Jun lalu antaranya membenarkan aktiviti pelancongan domestik.

Mengenai kerugian, Walter berkata berdasarkan rekod pendapatan sejak tiga tahun lalu, dianggarkan kerugian kali ini adalah lebih RM700,000.

“Belum ramai pelancong yang datang setakat ini dan kita menjangka kadar kehadiran pelancong mengambil masa untuk pulih semula,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar pengusaha Komuniti Beradaskan Pelancongan (CBT) di Kadamaian akan mendapat peluang daripada peruntukan bantuan yang disediakan kerajaan.

“Setakat ini belum ada bantuan diterima melalui persatuan KATA, tetapi kita sudah mengemukakan permohonan kepada kerajaan,” katanya.

Pusat Pelancongan Kadamaian di Kota Belud yang terletak kira-kira 85 kilometer dari Kota Kinabalu, mula menerima pelancong sejak lebih empat tahun lalu.

Industri pelancongan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian memiliki 74 kampung dengan keseluruhannya lebih 35,000 penduduk.

Antara aktiviti riadah disediakan untuk pelancong di Kadamaian ialah meneroka hutan, mendaki bukit, arung jeram (water rafting) di Sungai Kadamaian, pelancongan pendidikan dan kebudayaan tradisi.