Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 2nd April 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal mengarahkan Pusat Arahan Sabah Covid-19 untuk terus memantau dan mempercepatkan pengagihan bantuan Kerajaan Sabah menerusi Pakej Bantuan Covid-19 Sabah agar dapat meringankan bebanan rakyat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, PKP ini.

Dalam satu kenyataan, Datuk Seri Mohd Shafie berkata setakat hari ini, seramai 20,157 orang  penerima bantuan am di bawah pakej itu telah menerima bantuan masing-masing sebanyak RM300 seorang dengan  jumlah keseluruhan RM6,047,100.

Penerima bantuan anak yatim seramai 2,197 orang telah  menerima bantuan RM300 seorang dengan jumlah keseluruhan RM659,100.

Manakala seramai 14,532 orang penerima bantuan orang tua, kanak-kanak, ibu tunggal dan bapa tunggal serta orang kurang upaya dan pesakit kronik telah menerima RM300 seorang  dengan jumlah keseluruhan RM4,359,600.

Bagi kategori miskin dan miskin tegar, 410 orang telah menerima bantuan masing-masing dengan jumlah sebanyak RM205,000.

Sebanyak 12,678 orang penerima bantuan sedang dalam proses pembayaran dengan jumlah RM6,339,000.

Bantuan berbentuk makanan telah disampaikan terus kepada Ketua Keluarga di 60 kawasan DUN yang  melibatkan 108,632 ketua isi rumah dengan nilai bantuan berjumlah RM10,863,200.00.

Pemberian bantuan makanan ini sedang berjalan dan dalam proses  pengagihan di seluruh pelusuk negeri Sabah.

Bantuan Kerajaan Sabah juga telah diagihkan  kepada 2,554 pelajar Sabah di 33 IPTA dan IPTS di Semenanjung Malaysia serta

RM500,000 yang telah disampaikan kepada Universiti Malaysia Sabah, UMS.

Pesakit Covid-19 serta mereka yang berada di 17 Pusat Kuarantin dan Pusat Kuarantin Sementara kanak-kanak jalanan dan gelandangan turut menerima bantuan makanan.

Sumbangan khas sebanyak RM1 juta kepada setiap agensi juga telah disampaikan 30 Mac lalu kepada lapan agensi barisan  hadapan di Sabah iaitu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah,  Jabatan Imigresen, Angkatan Tentera Malaysia, Kastam,  Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, RELA dan ESSCOM.

* Tiada yang akan terpinggir daripada menerima bantuan daripada Kerajaan Sabah, sama ada golongan miskin, miskin tegar, B40 mahupun pelajar Institusi Pengajian Tinggi.

Ini kerana bantuan yang disampaikan  melalui Pakej Bantuan Covid-19 Sabah bersifat menyeluruh dalam membantu meringankan bebanan rakyat di peringkat akar bumi yang terkesan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP.

Selaras dengan itu, usaha membantu pelajar diteruskan dengan penyaluran sumbangan RM500,000 kepada Universiti Malaysia Sabah, UMS untuk dimanfaatkan oleh 6,236 pelajar yang masih berada di kampus kediaman atau menetap di rumah sewa di luar kampus di seluruh negeri ini.

Program ini  disempurnakan Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob, pagi tadi.

Selain UMS, kerajaan negeri turut membantu pelajar Sabah di Universtiti Institut Teknologi Mara UiTM Sabah, Politeknik dan Institut Pendidikan Guru serta kolej-kolej swasta.

* Golongan yang terjejas khususnya ibu tunggal, Orang Kurang Upaya, warga emas dan  miskin terus diberi keutamaan dalam penyaluran bantuan oleh Kerajaan Sabah.

Siang tadi, bantuan makanan asas keperluan harian disalurkan kepada penghuni Projek Perumahan Rakyat Sri Rugading, Tuaran.

Penyampaian disempurnakan Timbalan Ketua Menteri, merangkap Ahli Parlimen P170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Menurutnya, selepas ini bekalan akan disalurkan lagi di beberapa kawasan lain bagi mengurangkan bebanan mereka yang terjejas ekoran PKP.

* Universiti Malaysia Sabah, UMS menerusi Institut Penyelidikan Bioteknologi dijangka menjalankan ujian pengesanan Covid-19 bermula pertengahan bulan ini.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sabah telah meminta bantuan UMS untuk menjalankan ujian Covid-19 dan hasil perbincangan, makmal UMS telah bersedia untuk menerima sampel untuk diuji.

* Terdapat satu cubaan dipercayai kumpulan penculik untuk wang tebusan, KFR dari negara jiran untuk memasuki perairan Malaysia namun gagal kerana kawalan yang telah diperketatkan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, ESSCOM dengan kerjasama pasukan keselamatan Filipina kata  Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Noor Alam Khan.

Kerjasama itu untuk memastikan tiada ancaman aktiviti jenayah rentas sempadan semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP ketika ini.

* 700 anggota Angkatan Tentera Malaysia, ATM telah dikerah untuk membantu Polis Diraja Malaysia, PDRM melaksanakan PKP di seluruh negeri.

Panglima Divisyen Kelima Infantri, Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Khir Abdullah berkata, jumlah tersebut melibatkan 45 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, TLDM dan 30 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia, TUDM manakala selebihnya adalah tentera darat.

Setakat ini sebanyak 40 sekatan jalan raya dan 17 rondaan telah dijalankan bersama PDRM.

* Pusat kuarantin Covid-19 untuk daerah Kota Marudu di SMK Tandek 2 yang kini menempatkan 64 orang dalam kategori pesakit dalam siasatan, PUI menerima sumbangan 100 tilam daripada Gabungan Persatuan Cina Sabah, FCAS, hari ini.

Sumbangan disampaikan Presiden FCAS, Tan Sri TC Goh kepada wakil Majlis Daerah Kota Marudu di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, PPNS, siang tadi.

* Penularan wabak Covid-19 memaksa prosiding beberapa kes mahkamah dijalankan di pekarangan mahkamah dan bukannya di dalam bilik perbicaraan. Antaranya dalam perbicaraan satu kes cabul di Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud turut mengarahkan tertuduh, pendakwa raya, petugas mahkamah dan wartawan melakukan penjarakan sosial atau social distancing sepanjang prosiding berlangsung. Difahamkan ia perbicaraan ketiga yang dilakukan di luar bilik bicara Mahkamah Tawau sejak PKP dilaksanakan, 18 Mac lalu.

Dalam perbicaraan hari ini, seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, yang juga anak kepada rakannya.

* Demi kelangsungan hidup, tiga sekeluarga sanggup melanggar PKP untuk mencari lokan sebelum mereka dilaporkan hilang di hutan bakau Kampung Bukit Payung, Tuaran 8.40 malam, semalam.

Bagaimanapun, kesemua mereka bersama tiga rakan lain berjaya ditemukan dalam keadaan selamat oleh pasukan penyelamat, pagi tadi.

* Polis Sabah sedang menyiasat video tular di laman sosial yang memaparkan  seorang pegawai polis merotan lima remaja lelaki kerana didapati ingkar PKP di Kunak, Rabu lalu.