60 Rumah Di Bum Bum Musnah Dalam Kebakaran; Lebih 300 Hilang Tempat Tinggal

An aerial view of the squatter colony that was almost destroyed in the pre-dawn fire on Tuesday. – Photo credits BorneoToday reader
Kawasan Kampung Balembang di Pulau Bum Bum hampir musnah dijilat api Selasa pagi. Beratus orang hilang tempat tinggal. – Gambar ihsan pembaca BorneoToday

SEMPORNA – Sebanyak 60 rumah atas air di Kampung Balembang di Pulau Bum-Bum dekat sini, musnah dalam kebakaran mengakibatkan lebih 300 penghuni hilang tempat tinggal, pagi tadi (Selasa).

Kejadian jam 4 pagi itu dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak sehingga memusnahkan puluhan lagi rumah yang terletak berdekatan antara satu sama lain.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

Ia kes kedua di pulau berkenaan selang empat hari selepas kebakaran memusnahkan 13 rumah di Kampung Hampalan Laut, Jumat lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna, Fazizul Hizam Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 4.10 pagi dan tiba ke tempat kejadian kira-kira 4.52 pagi.

mm
Api sedang merebak di tempat setinggan di Kampung Balembang, Pulau Bum Bum Selasa pagi.

“Seramai lapan anggota yang bergegas ke tempat kejadian mengalami kesukaran untuk tiba di lokasi tersebut. Namun dengan bantuan empat polis marin, operasi berjaya dilaksanakan dan tamat kira-kira 7.16 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan di sini Selasa.

Menurutnya, operasi pemadaman itu menggunakan satu aliran, dua pancutan serta menerusi punca air terbuka air laut.

Katanya, setakat ini jumlah mangsa terlibat masih belum diketahui dan punca kebakaran serta jumlah kerugian sedang disiasat.

Difahamkan, ketika kejadian kebanyakan mangsa masih tidur dan gagal menyelamatkan harta benda masing-masing menyebabkan sebahagian besar penghuni tinggal sehelai sepinggang.

Pihak bomba mendapatkan bantuan bot Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna untuk ke pulau berkenaan.

“Kebakaran membabitkan kira-kira 60 rumah atas air jenis kayu berkeluasan 0.4 hektar yang terbakar 100 peratus.

“Punca kebakaran serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.