60 Calon STPM Capai PNGK 4.0

KOTA KINABALU: Sebanyak 60 orang calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berjaya memperoleh PNGK 4.0 berbanding 72 orang calon pada tahun 2020.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Tah Nia Jaman berkata, secara keseluruhan Sabah mencatatkan PNGK 2.7 peratus. Ia menunjukkan penurunan sebanyak 0.01 peratus berbanding 2.71 peratus pada tahun 2020.

Beliau berkata, perbezaan PNGK yang kecil itu tidak menggambarkan signifikasi yang besar kepada pencapaian calon STPM 2021, berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, sebanyak 7,109 daripada 7,210 calon lulus bagi keseluruhan semua mata pelajaran yang diambil.

“Peratusan calon lulus penuh dalam empat dan lima mata pelajaran turut menunjukkan penurunan sebanyak 0.5 peratus iaitu daripada 72.45 peratus menurun kepada 71.95 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, jurang perbezaan lulus antara bandar dan luar bandar juga sangat kecil iaitu 1.05 peratus.

Daripada 104 pusat peperiksaan, sebanyak 20 pusat peperiksaan di bandar mencatat pencapaian lulus sebanyak 98.45 peratus manakala, 84 pusat peperiksaan di luar bandar mencapai 97.4 peratus lulus.

Katanya, dari segi pencapaian calon, seramai 425 calon memperoleh keputusan 5P manakala, 4P seramai 4,763 calon, 3P seramai 1,126 calon, 2P seramai 519 calon dan 1P seramai 276 calon.

Tah Nia berkata, untuk pencapaian individu pula, sebanyak 60 orang calon berjaya memperoleh PNGK 4.0 berbanding 72 orang pada tahun 2020.

Secara keseluruhan sebanyak 58 buah sekolah mencatatkan kelulusan 100 peratus dan ia termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Klias, Beaufort; SMK Agama Limauan, Kimanis; SMK Sindumin, Sipitang; SMK Agama Kota Kinabalu.

“Syarat am memohon kemasukan ke universiti awam atau Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi program pengajian lepasan STPM perlu mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.0 dengan Gred C dalam tiga mata pelajaran termasuk Pengajian Am,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, daripada 24 pejabat pendidikan daerah (PPD), sebanyak 10 PPD menunjukkan pencapaian melepasi PNGK negeri iaitu PPD Sipitang, Kunak, Papar, Tuaran, Semporna, Penampang, Kota Kinabalu, Beluran, Tawau dan Beaufort.