6 Nelayan Vietnam Ceroboh Perairan Kudat Ditahan Maritim Malaysia

KUDAT : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan 6 nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara untuk melakukan aktiviti perikanan di kedudukan 101 batu nautika Barat Laut Simpang Mengayau, di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bot nelayan Vietnam terbabit dikesan kira-kira 2.27 petang oleh Kapal Maritim (KM) Ikhlas ketika sedang melakukan rondaan rutin Op Pluto Timur.

Maurice berkata hasil pemeriksaan mendapati, terdapat 6 kru termasuk
tekong berusia antara 23 hingga 53 tahun berada di dalam bot berkenaan.

“Kesemua individu terbabit juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati terdapat peralatan menangkap ikan jenis rawai di dalam bot berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini

Maurice berkata bot berserta nelayan terbabit ditahan dan dibawa ke Jeti Awam Kudat untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1963 kerana tiada dokumen pengenalan diri dan
Akta Perikanan 1985/63 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran di perairan negara.

Maurice berkata sebarang maklumat mengenai kehadiran bot nelayan asing boleh disalurkan melalui talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088- 611858.