59 Ditahan Terlibat Salah Guna Dadah Di Kota Kinabalu – ACP Habibi

1687

OLeh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu terus memperhebat operasi mencegah penjualan dan penggunaan najis dadah di bandar raya ini melalui Op Sarang yang dijalankan setiap hari.

Habibi Majinji

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, dalam tempoh seminggu bermula 26 Januari hingga semalam, sebanyak 59 individu lagi ditahan kerana terjebak dengan bahan terlarang itu.

“Daripada jumlah itu, 16 orang ditahan kerana memiliki dadah manakala 43 lagi diberkas selepas ujian urin dijalankan positif menggunakannya.

“Kesemua ditahan berumur antara 17 hingga 55 tahun dan daripada jumlah itu, 39 adalah orang tempatan manakala 20 lagi warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Habibi, dalam tempoh itu, sebanyak 21.64 gram dadah bernilai RM3,250 dirampas.

Menurutnya, semua kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kawasan operasi adalah di sekitar Sembulan dan Telipok.

“Usaha untuk membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar Kota Kinabalu akan terus diperhebat dari masa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam di bandar raya ini,” jelas beliau.