57 Individu Dikompaun Di Penampang Kerana Ingkar PKPB

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
PENAMPANG: Seramai 57 individu dikompaun polis di sekitar Penampang selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, dalam operasi pukul 9.15 malam itu, pasukan polis Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang telah melakukan serbuan di tiga premis dan mengeluarkan kompaun terhadap semua individu berusia 20 hingga 50 tahun.

Beliau berkata, tangkapan awal membabitkan tiga lelaki yang bekerja sebagai penjaga premis termasuk 40 pelanggan lelaki dan 14 pelanggan wanita kerana melanggar PKPB.

“Semua individu berkenaan ditahan kerana berkumpul di premis tanpa menjaga penjarakan sosial iaitu sekurang-kurangnya satu meter setiap seorang.

“Semua individu terbabit dibawa balik ke IPD Penampang bagi tujuan dokumentasi dan tindakan pengeluaran kompaun kerana didapati melanggar Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LLDKJ)(No 6) 2020,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Haris turut menasihati orang ramai khususnya di daerah ini supaya sentiasa mematuhi prosedur standard operasi (SOP) PKPB.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berhimpun dan sentiasa mematuhi SOP PKPB termasuklah menjaga penjarakan sosial iaitu sekurang-kurangnya satu meter.

“Polis Penampang sentiasa menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap sesiapa yang melanggar peraturan dan SOP PKPB ini,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, seramai 23 individu dikompaun sebanyak RM23,000 selepas didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Penampang, baru-baru ini.

“Semua yang ditahan ini sudah menerima notis kompaun manakala tindakan selanjutnya akan diambil oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.