56 ANGGOTA TENTERA LABUAN BANTU PERKETATKAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

LABUAN, 22 Mac — Seramai 56 anggota tentera – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Anggota Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memulakan penglibatan mereka memperketatkan lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di pulau bebas cukai disini bermula hari ini.

Kesemua mereka ini akan diserap masuk bersama 15 kumpulan pemantauan gerak kerja COVID-19 Labuan dan dalam tiga sekatan jalanraya polis yang beroperasi 24 jam.
Ketua polis Labuan Supt. Muhamad Farid Ahmad, berkata dengan kekuatan daripada anggota tentera itu akan menjadikan kesemua anggota keselamatan yang terlibat dalam pengawalan dan pemantauan lebih 200 orang.

“Dengan penglibatan anggota tentera ini, kita berharap masyarakat tidak panik, sebab kami hanya mahu memastikan perintah ini dipatuhi sepenuhnya.

“Kita hanya berbaki sembilan hari sahaja lagi Perintah Kawalan Pegerakan ini akan berakhir dengan berkesan dan dapat melihat penularan wabak COVID-19 dapat dikawal, bantulah kami patuhi perintah ini demi kepentingan kita bersama,” katanya kepada pemberita selepas taklimat bersama tentera di Balai Polis Labuan hari ini.

Farid berkata pengawalan dan pemantauan bersama polis dan tentera ini melibatkan kawasan bandar dan luar bandar termasuk di jalan-jalan kampung.

Farid mengingatkan warga Labuan agar menghadkan perjalanan untuk baki seminggu lebih ini dan hanya ketua keluarga sahaja yang dibenarkan keluar untuk berbelanja keperluan rumah.

“Keperluan pengawalan dan pemantauan diluar bandar ini susulan pengamatan anggota kita yang melihat sendiri ada yang masih bermain sepak takraw dan bermain bola…kalau kita lihat lagi, kita akan bersemuka dan meminta mereka bersurai dan balik kerumah,” katanya.

Farid mendedahkan hari kelima Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa, lebih lima ribu orang bersama kenderaan mereka keluar ke bandar.

“Ertinya daripada sedikit lebih 100 ribu penduduk Labuan, masih ada lebih kurang lima peratus warga Labuan yang masih engkar dengan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan ini,” katanya.

Farid juga menasihatkan kepada yang peniaga-peniaga yang tidak disenarai dalam sektor perkhidmatan penting negara (essential services) harus tutup kedai-kedai dan pejabat perniagaan mereka sehingga perintah ini berakhir.

Seorang netizen yang mahu dikenali sebagai Benjy Edwan berkata mungkin juga ada keperluan untuk anggota polis dan tentera untuk turut berada di pasaraya seperti Bataras dan Hap Huat dan pasar ikan dan sayur berikutan masih ramai orang bersesak-esak ketika membuat pembelian dan akan memberi risiko kepada semua yang berdekatan.