54 Pesalah Dadah Ditahan, Syabu Dan Ketamin Dirampas

69

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Seramai 54 suspek termasuk 14 warga asing ditahan dalam Op Sarang bagi membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekitar pusat bandar raya ini sepanjang 23 hingga 29 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tangkapan itu melibatkan rampasan dadah sebanyak 140.95 gram syabu dan 21.96 gram ketamin dengan anggaran rampasan bernilai RM24,435.50.

Beliau berkata, kesemua individu yang berumur antara 13 hingga 54 tahun itu ditangkap dalam 19 serbuan yang dijalankan sekitar Kampung Bakau, Kampung Sembulan dan sekitar kawasan Sinsuran sepanjang tempoh seminggu tersebut.

Katanya, daripada 54 tangkapan yang dibuat, satu individu ditangkap mengikut Langkah-langkah Pencegahan Khas, enam ditahan bagi kesalahan mengedar dadah, 11 individu ditahan atas kesalahan memiliki dadah, manakala, 36 yang lain didapati positif ujian urin.

Menurutnya, semua yang ditahan akan disiasat masing-masing mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (1), Seksyen 12(2), Seksyen 15 (1)(A) dan Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Langkah-langkah Pencegahan Khas).

Habibi berkata, pihaknya akan terus berusaha membanteras aktiviti pengedaran dan penagihan dadah sekitar Kota Kinabalu bagi meningkatkan kesejahteraan dan ketenteraman awam.

Beliau juga meminta orang awam supaya menyalurkan maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah ke talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di talian 088 529220 atau ke akaun Facebook Page ‘Polis Daerah Kota Kinabalu’.