527 PATI Filipina Diusir Ke Negara Asal

SANDAKAN : 527 pendatang asing tanpa izin (PATI) Filipina dihantar pulang ke negara asal dengan menaiki feri MV-Antonia 1 melalui Pelabuhan Sandakan, Rabu lalu.

Pengarah Imigresen Sabah, Sitti Saleha Habib Yusoff berkata ini program penghantaran pulang ketiga membabitkan PATI warga Filipina ke negara asal, bulan ini yang dikendalikan Jabatan Imigresen Malaysia, Sabah.

Katanya, kesemua PATI berkenaan adalah sebelum ini ditahan di 4 depot Imigresen di Kota Kinabalu, Papar, Depot Sandakan dan Tawau.

“Kesemua tahanan ini dipindahkan dengan selamat dan selesai diiringkawal masuk sehingga ke dalam Vessel Laut MV-Antonia 1 pada kira-kira 9.15 malam,” katanya dalam satu kenyataan media.

PATI yang dihantar pulang terdiri 383 lelaki, 106 wanita dan selebihnya kanak-kanak.*

*”Semua tahanan perlu melalui proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan COVID-19 dan proses pengasingan bagi suatu tempoh yang ditetapkan bagi memastikan tiada penularan jangkitan COVID-19 sebelum penghantaran pulang dilaksanakan,” katanya.

Menurut beliau, sebahagian besar tahanan telah melengkapkan dos vaksin serta mendapatkan vaksin penggalak.

Kesemua PATI yang ditahan telah melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan – Peraturan Imigresen 1963.