502 Peniaga Pasar Umum Sandakan Telah Disaring

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Sejumlah 502 peniaga pasar di Pasar Umum Sandakan telah menjalani saringan Covid-19 sehingga semalam.

Daripada jumlah itu, seorang disahkan positif, manakala 346 orang adalah negatif dan 155 orang masih menunggu keputusan ujian saringan.

Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan, Dr Johari Awang Besar, berkata saringan yang dilaksanakan sejak 22 Jun lalu itu adalah untuk tujuan pemantauan kerana terdapat banyak pergerakan di kawasan pasar, selain dinilai sebagai lokasi berisiko untuk jangkitan Covid-19.

Berikutan kes positif terbaharu di pasar berkenaan, katanya, langkah kawalan dan pencegahan giat dilaksanakan termasuk pengesanan kontak, pengesanan kes melalui penilaian risiko dan saringan ke atas mereka yang menjalankan urus niaga di pasar itu.

“Pasar ini ditutup sementara bermula hari ini bagi tujuan disinfeksi oleh pihak Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan dan Majlis Perbandaran Sandakan.

“Ia dijangka akan dibuka semula seperti biasa esok iaitu seawal jam 10 malam,” katanya di sini, hari ini.

Johari berkata, semua peniaga pasar akan diberi taklimat berkaitan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang wajib dipatuhi sebelum pasar dibuka semula.

Beliau turut memberi amaran kegagalan peniaga mematuhi SOP membolehkan mereka diarahkan untuk menutup gerai atau diberi kompaun.

“Penduduk tidak perlu panik dan bimbang jika terus mengamalkan nasihat disarankan termasuk kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman, mengamalkan penjarakkan sosial, elak bersentuhan, memakai pelitup muka dan amalan etika batuk atau bersin.

“Selain itu, elakkan 3S (tempat sesak, sempit dan sembang rapat),” katanya.