5,000 Tidak Dapat Rai Paskah di Tulid; Alasan SESB Buat Kerja Selenggara

Oleh KEE HELMEY KEE ZAINAL
PENSIANGAN, SOOK: Lebih lima ribu penduduk orang asal dari 20 kampung di mukim Tulid terjejas akibat ketiadaan bekalan eletrik yang terputus selama 13 jam pada hari sambutan Paskah Ahad lalu.

Difahamkan pada hari tersebut, kontraktor SESB telah melakukan kerja-kerja penyelenggaraan, membersihkan dahan dan ranting kayu yang menghalang kabel eletrik.

Robinson Rusikan

Penyelaras DAP Tulid-Pensiangan Vinson @ Robinson Rusikan berkata, alasan yang diberikan oleh wakil kontraktor SESB bahawa ketiadaan eletrik pada hari itu berpunca dari kerja-kerja penyelenggaraan yang dijalankan, tidak boleh diterima sama sekali .

“Ini kerana pihak kontraktor sepatutnya sudah sedia maklum bahawa hari itu merupakan hari Paskah di mana seluruh penganut agama Kristian di Malaysia menyambutnya.

“Agak tidak masuk akal jika mereka tidak mengetahui hari itu merupakan hari sambutan perayaan Paskah, dan amat menghairankan jika mereka tidak tahu, kebanyakan masyarakat kampung di mukim Tulid ini adalah penganut agama Kristian,” tegasnya.

Menurut Robinson, penduduk kampung telah mengatur pelbagai program dan aturcara keagamaan untuk menyambut hari kebesaran itu, namun terpaksa juga diteruskan walaupun tergendala akibat terputus bekalan eletrik.

“Seluruh penduduk kampung Tulid, merasa sangat marah dan kecewa dengan tindakan kontraktor SESB yang seolah-oleh tidak peka dan tidak mahu ambil peduli keadaan semasa apabila membuat kerja penyelenggaraan.

Adrian Lasimbang

“Sepatutnya wakil rakyat dan pihak kerajaan membuka mata dan ambil tahu perkara ini. Sebagai kontraktor yang dilantik oleh SESB seharusnya mereka lebih profesional dan efisyen dalam merangka jadual kerja-kerja penyelengaraan dan bukannya membuta-tuli sahaja,” ujar Robinson.

Katanya lagi, ketiadaan bekalan eletrik seumpama ini sering berlaku dan dalam tempoh bulan ini sahaja, sudah empat – enam kali penduduk mukim Tulid terputus bekalan eletrik dan apa yang paling teruk sekali, keadaan tersebut berlanjutan sehingga dua hari lamanya.

Robinson turut menerima banyak aduan dan keluhan daripada penduduk kampung mengatakan barangan letrik mereka telah rosak kerana sering terputus bekalan eletrik, bukan sahaja itu, ada juga peniaga-peniaga runcit yang mengalami kerugian kerana barangan segar serta beku rosak disebabkan ketiadaan eletrik.

Oleh yang demikian, Robinson berharap pihak kerajaan dan pihak yang bertanggungawab, menyiasat dan segera bertindak bagi mengatasi masalah dan kesengsaraan yang sudah lama ditanggung oleh penduduk kampung di mukim Tulid ini.

Pada masa yang sama, penyelaras DAP Pensiangan, Adrian Lasimbang, mahu kerajaan negeri dan persekutuan mempercepatkan penyambungan bekalan tenaga elektrik di kawasan Kg Bonor, Kg Malaing, Kg Katalirus sehingga ke Kg Lumiri yang sehingga kini masih belum lagi mendapat bekalan eletrik walaupun tiang dan kabel sudah dipasang lebih kurang tujuh tahun lalu.

“Ini merupakan salah satu ‘hutang’ janji BN kepada rakyat dikawasan Sook Pensiangan. Masih banyak lagi kawasan yang sudah di pasang tiang dan kabel eletrik tapi sehingga kini masih tiada penyambungan dibuat.

“Mungkin juga janji BN tujh tahun lalu, hanya memacak tiang dan menggantung kabel,” kata Adrian.

Tegas Adrian lagi, tujuh tahun bukanlah suatu tempoh masa yang singkat, dan selama itu rakyat di Daerah Sook hidup dalam keadaan daif dan serba kekurangan sumber asas. Yang pastinya mereka mahukan pembelaan yang boleh diterjemahkan serta dinikmati, dan bukan hanya diberi harapan dengan janji-janji kosong.