500 Orang, Tiga Kampung Sertai Perarakan Maulidur Rasul

Oleh ARDYHANSAH AMAT
Tawau: Buat julung kalinya, 500 orang penduduk dari tiga kampung menyertai Perarakan Maulidur Rasul, di Kampung Batu Payung, di sini, semalam.

Lebih menarik lagi, perarakan yang membabitkan Kampung Membelua, Apas dan Batu Payung itu, turut disertai lebih 20 kanak-kanak berusia antara lima hingga 8 tahun yang bergabung menjadi satu daripada 10 kumpulan yang berarak sejauh 4 kilometer dari Taman Usba ke Masjid Nurul Hidayah.

Penyelaras program Mohamad Oman berkata, sebelum ini, setiap kampung akan mengadakan program perarakan di kawasan masing-masing.

“Tahun ini, kami sepakat untuk bergabung dalam usaha memupuk semangat kekitaan dan menjalin silaturahim sesama penduduk di tiga kampung berbeza.

“Alhamdulillah program hari ini berjalan lancar seperti yang dirancang,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Tambahnya, selain perarakan dan selawat ke atas Nabi, program yang bermula seawal jam 6.30 pagi itu turut diselitkan dengan persembahan nasyid dan ceramah agama daripada penceramah jemputan.

“Dalam masa sama, majlis cukur jambul turut diadakan bagi 31 orang bayi ahli kariah masjid dari ketiga-tiga kampung turut yang berusia satu tahun ke bawah.

“Saya berharap program sebegini dapat dianjurkan lebih kerap terutamanya membabitkan sambutan keramaian termasuk perarakan hari kemerdekaan,” katanya.

Tambahnya, melalui cara itu, bukan saja dapat menyemarakkan sambutan perayaan yang disambut di seluruh negara, tetapi dapat memberi contoh baik kepada generasi muda.

“Dalam masa sama, mereka dapat mengisi masa lapang dan cuti umum mereka dengan aktiviti berfaedah,” katanya.