50 PATI Ditahan Dalam Operasi Di Kota Kinabalu, Lahad Datu, Sandakan

Lima lelaki dan dua wanita yang sedang bersembunyi di kawasan bakau di Sandakan, ditangkap oleh polis marin.
Lima lelaki dan dua wanita yang bersembunyi di kawasan bakau di Sandakan, ditangkap oleh polis marin.

KOTA KINABALU – Polis menahan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam ‘Op Bersepadu PTI’ di beberapa rumah sewa dan perumahan setinggan di sekitar pusat bandar raya ini, awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata kesemua yang ditahan itu hasil pemeriksaan terhadap 25 individu dalam operasi lebih 6 jam bermula 1 pagi di rumah sewa di Sinsuran, Kingfisher dan perumahan setinggan berhampiran bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Polis turut menahan seorang lelaki yang didapati positif dadah dalam ujian air kencing,” katanya dalam kenyataan di sini Jumaat.

ACP Chandra
ACP Chandra

Beliau berkata operasi itu dilaksanakan berikutan aduan orang awam dan tumpuan operasi adalah kawasan yang berpotensi sebagai sarang penjenayah dan pengedaran dadah di sekitar Kota Kinabalu.

“Operasi meroboh beberapa rumah setinggan yang dikenal pasti di kawasan berhampiran bangunan DUN Sabah dan Kingfisher oleh pihak berkuasa akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Di SANDAKAN, seramai 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ditahan Pasukan Polis Marin dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam operasi dua hari di perairan Sandakan sejak semalam.

Komander Polis Marin Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Madun berkata Polis Marin Sandakan yang menjalankan Ops Pensura di perairan Batu 7 terserempak sebuah bot laju kira-kira pukul 3.30 pagi Jumaat.

“Juragan bot yang merupakan seorang lelaki Filipina ditahan bersama lima lelaki dan dua wanita yang sedang bersembunyi di kawasan bakau,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohamad berkata dalam kejadian berasingan Polis Marin Sandakan menerima sembilan PATI yang terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita dari Kapal TLDM Tun Azizan.

Beliau berkata 17 PATI berumur antara tujuh dan 56 tahun ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55E(1) akta yang sama.

escom

Di LAHAD DATU, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menahan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Ops Gasak 7 di empat perkampungan setinggan di Felda Sahabat semalam.

Komander ESSCom, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata operasi bersepadu yang bermula seawal pukul 3.30 pagi hingga 12.00 tengah hari itu ditumpukan di Kampung Lok Buani, Sungai Merah, Labian Lama dan Sungai Bilis.

Beliau berkata operasi yang disertai oleh seramai 291 pegawai dan kakitangan dari pelbagai agensi keselamatan dan penguat kuasa persekutuan dan negeri itu telah memeriksa seramai 994 orang.

Daripada jumlah tersebut, seramai 20 orang disyaki PATI telah ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah terdiri daripada 19 warga Filipina dan seorang warga Indonesia, katanya dalam kenyataan.