50 KG Ikan Hasil Kegiatan Bom Dirampas

Ikan yang dirampas PPM di perairan Teluk Long, Balambangan, Kudat.

Oleh NORA AHMAD
KUDAT: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas sebanyak 50 kilogram pelbagai jenis ikan dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan di perairan Teluk Long, Balambangan, hari ini.

Dalam kejadian pukul 8.15 pagi, dua lelaki disyaki terbabit dalam kegiatan itu namun berjaya melarikan diri.

Pegawai Pemerintah PPM Kudat Asisten Superintendan Rizauddin Selamat berkata, ketika anggotanya menjalankan Ops Gelora Khas di kawasan itu berjaya mengesan dua lelaki menaiki perahu dipercayai melakukan aktiviti mengebom ikan.

“Dua lelaki itu didapati dalam keadaan yang mencurigakan dan mereka bertindak melarikan diri dengan mengubah haluan perahu ke kawasan cetek ketika cuba dihampiri.

“Dua lelaki terbabit melarikan diri ke arah Pulau Balambangan dan gagal dikesan manakala perahu ditinggalkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya lagi, hasil pemeriksaan dalam ruang perahu menemui kira-kira 50 kilogram ikan pelbagai jenis yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan.

“Dianggarkan nilai rampasan sebanyak RM500 dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26 (1)(c) Akta Perikanan1985. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum dua tahun,” katanya.