50 Ahli Umno Sertai Warisan, Markas BN Kini Bertukar Wajah

Salah seorang bekas ahli Umno memakai baju Warisan.

Oleh ILONA ANDREW
MEMBAKUT: Seramai 50 ahli Umno Cawangan Kampung Madang telah bertindak keluar parti akibat hilang kepercayaan dan mengambil keputusan untuk menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Tindakan mereka itu diketuai oleh Lasiung Simban yang merupakan Timbalan Ketua Cawangan Umno merangkap Timbalan Ketua Markas Barisan Nasional (BN) di kampung itu.

Menurut Lasiung, pelbagai permohonan beliau yang dibuat sejak 24 tahun lalu, termasuk permohonan bantuan rumah tidak pernah diendahkan.

Beliau yang merupakan ahli Umno sejak tahun 2004 akhirnya bertekad memberikan sokongan padu kepada parti Warisan khususnya calon parti itu, Datuk Karim Bujang pada Pilihan Raya Kecil Kimanis.

“Warisan ialah sebuah parti yang benar-benar mempertahankan hak dan berjuang untuk rakyat Sabah berbanding parti Malaya iaitu BN dan Umno,” katanya ketika ditemui pada hari ini.

Kumpulan 50 bekas ahli BN itu kemudiannya menurunkan bendera, kain rentang dan poster  Calon BN Datuk Mohamad Alamin dan digantikan dengan bendera, lambang dan poster parti Warisan.

Kini, markas BN di kampung itu telah bertukar wajah menjadi Markas Parti Warisan.