48,935 Individu Telah Lengkapkan Dua Dos Vaksin COVID-19 Di Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 48,935  individu di Sabah telah melengkapkan suntikan dua dos vaksin setakat hari ini menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Sabah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata seramai 72,004 individu telah menerima suntikan dos pertama.

“Sementara bilangan pendaftaran penerima vaksin yang direkodkan hari ini adalah sejumlah 2,762 menjadikan jumlah kumulatif yang mendaftar setakat ini sebanyak 469,318,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Mengenai perkembangan COVID-19 di Sabah, Masidi berkata, sebanyak  89 kes baharu positif direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif wabak itu di negeri ini sebanyak 58,461 kes.

Seramai 109 pesakit COVID-19 telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di Sabah seramai 57,173 orang, katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, setakat hari ini, sejumlah 318,760 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan yang terkesan di bawah Program Bantuan Prihatin COVID-19 2.0.