4,864 Orang Perolehi Pekerjaan Melalui Program PEMULIH

TUARAN: Inisiatif kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjaya membantu seramai 4,864 orang Sabah memperolehi pekerjaan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, seramai 7,141 rakyat Sabah juga telah berjaya kembali bekerja berdasarkan statistik yang dikeluarkan PERKESO Sabah pada tahun 2020.

“Jelaslah bahawa inisiatif yang diberikan oleh pihak kerajaan melalui PERKESO di bawah program PEMULIH memberi impak yang positif, sekali gus dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat.

“Ini merupakan satu langkah yang amat baik dalam proses negara memulihkan dan merancakkan kembali ekonomi negara,” katanya ketika merasmikan Karnival Kerjaya Urban Poor Peringkat Negeri Sabah Tahun 2021 di Dataran Astaka Padang Tuaran, hari ini.

Program Karnival Kerjaya Urban Poor peringkat negeri Sabah 2021 Daerah Tuaran ini, adalah yang pertama dan karnival seumpama ini akan diteruskan secara berperingkat ke daerah luar bandar di Sabah.

Hajiji berkata, kerajaan sememangnya sudah bersedia berhadapan dengan isu pemberhentian kerja dan pengangguran ketika negara sedang menghadapi pandemik COVID-19.

“Kerajaan juga telah mengambil langkah proaktif tanpa menunggu keadaan menjadi bertambah serius. Dalam tempoh Pandemik COVID-19 bermula Mac 2020 hingga September 2021, PERKESO Sabah telah berjaya menganjurkan sebanyak 307 aktiviti temuduga, iaitu 267 temuduga secara maya dan 40 aktiviti secara fizikal yang dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai industri dan majikan.

“Selain itu, bagi memudahkan lagi proses temuduga dalam talian, PERKESO Sabah telah mengadakan kerjasama strategik dengan Pusat Internet Desa bagi memastikan capaian internet untuk pencari kerja di luar bandar dapat diakses dengan mudah. Usaha ini bagi membantu pencari kerja di kawasan luar bandar,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata sejajar dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, PERKESO telah menjalin kolaborasi strategik bersama kerajaan negeri dalam membantu menstabilkan dan menguruskan hal berkaitan pasaran buruh menerusi aktivit perkhidmatan pekerjaan yang dilaksanakan secara berterusan.

“Saya melihat usaha ini akan membantu lebih ramai belia dan lepasan sekolah di negeri ini untuk mendapat peluang pekerjaan termasuk dalam pelbagai sektor industrii,” katanya.

Mengenai karnival itu, katanya terdapat lebih 1,000 kekosongan jawatan menanti dan 15 buah majikan mengambil bahagian dalam program temuduga sempena karnival itu.

“Ini adalah antara inisiatif kerajaan melalui PERKESO dalam membantu rentan bandar, khususnya golongan B40 berkaitan menyediakan peluang carian pekerjaan dan penempatan kerja dalam kalangan belia lepasan sekolah, graduan dan pekerja yang kehilangan pekerjaan,” katanya sambil berharap pencari kerja akan mengambil peluang menyertai mana-mana karnival yang dianjurkan oleh PERKESO.

Karnival Kerjaya Urban Poor anjuran PERKESO Sabah adalah penganjuran yang kedua, selepas Karnival e-Kerjaya PERKESO Negeri Sabah pada 25 September lalu.