446 Anak Kapal Terbabit Demonstrasi Latihan TUDM

KOTA BELUD: Seramai 446 anak-anak kapal dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk dari Pasukan Khas Udara TUDM (PASKAU) terbabit dalam melakukan demonstrasi latihan ketenteraan, di sini hari ini.

Aset TUDM seperti pesawat tempur- F/A-18D Hornet, Sukhoi SU-30MKM dan Hawk 208; pesawat angkut – Hercules C130H; pesawat maritim-Beechcraft B200T dan pesawat helikopter- EC 725 AP melintasi ruang udara dan diselangi bunyi letupan bom daripada demonstrasi penembakan udara.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pelaksanaan demonstrasi latihan penembakan udara ke permukaan bumi pada hari ini menjadi satu platform yang mengintegrasikan operasi pelbagai aset tempur milik TUDM termasuk elemen logistik tempur di dalam menjayakan sesuatu operasi udara.

“Demonstrasi penembakan udara ke permukaan bumi ini juga menyaksikan pesawat pejuang TUDM membuat penembakan ke sasaran yang dikenal pasti.

“Eksesais ini membabitkan beberapa siri latihan penembakan misil udara ke udara dan penembakan misil udara ke permukaan yang bermula pada 7 hingga 10 September lalu di Pangkalan Udara Labuan, Lapang Sasar Udara Kota Belud dan kawasan perairan Laut China Selatan,” katanya semasa sidang media, di Lapang Sasar Udara dekat sini.

Menurutnya, dalam demonstrasi latihan penembakan udara ke permukaan bumi ini juga sebahagian daripada aktiviti Eksesais Ababil 2021 yang dijalankan bagi menguji keupayaan persenjataan aset-aset tempur milik TUDM disamping, meningkatkan kompetensi aset sumber manusia TUDM.

Beliau berkata, pelaksanaan eksesais sebegini penting untuk mempamerkan keupayaan kuasa udara TUDM dalam menjaga kedaulatan tanah air dan kepentingan nasional serta mempertingkatkan keyakinan kepada rakyat di wilayah Malaysia Timur terhadap keselamatan dan pertahanan ruang angkasa negara.

Dalam pada itu, beliau mahu sistem pengurusan di peringkat strategik dan operasi serta eleman dukungan diseragamkan dengan sokongan teknologi terkini bagi meningkatkan kebolehoperasian dan tahap kompetensi aset ketenteraan di negara ini.

Katanya,ianya penting bagi memastikan keperluan untuk operasi udara, keperluan latihan dan kontingensi dapat dipenuhi selaras dengan perkembangan teknologi dan maklumat yang terkini.

Turut hadir ialah Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Datuk Mohammad Ad Rahman.