44 Peserta Ambil Bahagian Dalam Majlis Tilawah, Hafazan Al-Quran Peringkat Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 44 peserta akan mengambil bahagian dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran 1442H/2021M peringkat negeri yang berlangsung selama empat hari mulai esok hingga Jumaat ini, kata Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Mohd Arifin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran itu berkata seramai 24 orang terdiri daripada qari dan qariah, manakala selebihnya iaitu 20 orang adalah peserta hafazan dari semua bahagian di Sabah yang terpilih ke peringkat negeri.

Beliau berkata majlis bertemakan ‘Ummah Rabbani, Negara Harmoni’ anjuran Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) itu akan diadakan di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dengan menerapkan amalan norma baharu serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan COVID-19.

“Hanya 300 tetamu sahaja dijemput hadir menyaksikan majlis ini bagi memastikan penjarakan fizikal dipatuhi, selain pemakaian pelitup muka dan penggunaan cecair pembasmi kuman.

“Bagaimanapun, majlis ini boleh diikuti secara dalam talian melalui laman Facebook JHEINS, selain akan disiarkan secara langsung menerusi radio SabahFM,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu jemputan SabahFM di sini hari ini.

Mohd Arifin berkata majlis itu akan dimulakan dengan saringan peserta tilawah al-Quran bagi memilih 12 qari dan qariah terbaik untuk berentap pada pertandingan akhir 4 Mac ini.

Beliau berkata majlis berkenaan akan turut diisi dengan beberapa program lain iaitu Konvensyen Al-Quran dan Muzakarah Hakim pada Rabu.

“Saya berharap kita akan dapat bersama-sama mengikuti dan menyemarakkan majlis tilawah dan hafazan al-Quran ini sama ada di dalam dewan mahupun di rumah. Semoga majlis ini menjadi wadah untuk kita memartabatkan keseniaan Islam serta nilai-nilai murni dan kecintaan terhadap al-Quran,” katanya.

Acara kemuncak penyampaian hadiah kepada pemenang qari dan qariah dijadual disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada Jumaat yang akan diserikan lagi dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor, katanya.