42 Ditahan Salah Guna Dadah

335
Pegawai polis dari IPD Kota Kinabalu menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas dalam operasi seminggu.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Sebanyak 42 individu termasuk lima wanita ditahan dalam operasi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah yang dijalankan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu selama seminggu bermula 16 Februari lalu.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kesemua suspek ditahan di sekitar bandar Kota Kinabalu, Sungai Parang dan Menggatal.

Katanya, daripada jumlah itu, 11 suspek ditangkap kerana memiliki bahan terlarang itu manakala 31 lagi gagal dalam ujian saringan air kencing yang dijalankan.

“Kesemua mereka ditahan membabitkan beberapa seksyen dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu Seksyen 39B, Seksyen 39A (1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a).

“Tangkapan juga melibatkan 10 warga asing berumur antara 18 hingga 41 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 1,158 gram ganja dan 5.6 gram syabu berjaya dirampas dalam operasi itu yang keseluruhannya bernilai RM3,800.

“Usaha untuk membanteras pengedaran dan penagihan dadah sekitar daerah Kota Kinabalu akan diperhebat dan dipertingkatkan dari masa ke semasa demi kesejahteraan serta ketenteraman awam,” tegas beliau.