4,000 Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri Di Masjid Bandaraya

186

KOTA KINABALU: Kira-kira 4,000 orang tidak melepaskan peluang berbuka puasa bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Majlis Iftar di Masjid Bandaraya di sini, hari Ahad.

Perdana Menteri dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, tiba di pekarangan masjid berkenaan pada jam 6.20 petang, diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri Datin Seri Shuryani Shuaib.

Ketibaan Tun Dr Mahathir disambut Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong serta Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Mokhtar.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew dan Datuk Wilfred Madius Tangau bersama menteri Kabinet Sabah yang lain.

Orang ramai yang telah menunggu ketibaan Tun Dr Mahathir sejak 4 petang tadi, mengambil peluang bersalaman dengan perdana menteri.

Selepas berbuka puasa, perdana menteri bersama pemimpin dan tetamu lain seterusnya menunaikan solat Maghrib berjemaah, sebelum acara diteruskan dengan jamuan makan.

Pada majlis itu, Dr Mahathir turut menyampaikan sumbangan kepada 20 penerima dalam kalangan asnaf.