40 Peserta Akan Sertai Kejohanan Angkat Berat Sabah

Gambar hiasan.

KOTA KINABALU: Kejohanan Angkat Berat Junior dan Senior Negeri Sabah 2019 akan berlangsung di Dewan Serbaguna Pekan Kiulu, Tamparuli bermula 12-13 Ogos ini.

PHILIP GISAN

Presiden Persatuan Angkat Berat Negeri Sabah (SWA) Philip Gisan berkata, kejohanan itu dijangka akan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

“Kejohanan ini akan melibatkan atlet-atlet dari Kiulu, Tambunan, Tuaran dan Kota Kinabalu, dengan jumlah kira-kira 40 peserta.

“Persaingan kategori lelaki melibatkan atlet dengan berat badan 55 kilogram (kg) hingga 94kg, manakala kategori wanita melibatkan atlet dengan berat 44kg hingga 87kg,” katanya, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, selain bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat baharu, kejohanan ini juga akan dijadikan medan untuk memilih pelatih-pelatih negeri untuk menyertai Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan 2019 yang akan berlangsung di Segamat, Johor bermula 28 September hingga 3 Oktober.