4 Warga Asing Ditangkap Ambil Kayu Tangar Secara Haram

94

Oleh AZIS KHAN
PITAS: Empat warga asing yang didapati menceroboh Hutan Bakau di Paitan dan Beluran bagi memenebang dan mengambil kulit kayu Tangar secara haram berjaya ditangkap dalam operasi ‘Ops Tangar’ antara 14 hingga 16 November lalu.

Tangkapan yang dilakukan dalam dua operasi berasingan di Hutan Simpan Bakau Paitan dan Pulau Jambongan itu melibatkan rampasan kulit kayu seberat 7,000 kg dengan nilai mencecah RM 70,000 hingga RM 80,000.

Dalam tangkapan di kawasan Hutan Simpan Bakau Paitan, Pegawai Perhutanan Daerah Pitas bersama 10 orang anggota Jabatan Perhutanan berjaya memberkas dua lelaki warga asing yang sedang memunggah kulit-kulit tangar ke dalam Bogo-bogo (bot).

Pemeriksaan dilokasi menjumpai beberapa longgokan kulit kayu Tangar yang dikupas dari pokok-pokok bakau secara haram yang dianggarkan seberat 3,000kg. Turut ditemui dua buah sampan kecil, pondok serta peralatan seperti parang dan kapak yang dipercayai digunakan untuk memotong pokok bakau.

Operasi kedua di Pulau Jambongan pula, dua lagi suspek juga warga asing ditangkap atas kesalahan yang sama.

Dalam operasi itu, selonggokan kulit-kulit tangar dengan anggaran berat lebih 4,000kg berjaya dirampas. Kulit-kulit tangar itu dipercayai untuk dibawa keluar ke negara jiran untuk dipasarkan.

Operasi itu disertai Pasukan MCEE Kudat, Pejabat Perhutanan Pitas, Pejabat Perhutanan Kota Marudu, pasukan khas (Protect Team) Jabatan Perhutanan dan Pasukan Khas Tiger Platoon, PGA Batalion 20 Beluran.

MASHOR MOHD JAINI

Menurut Ketua Konservator Hutan Sabah Datuk Mashor Mohd Jaini, kegiatan mengambil dan mencuri kulit tengar ini adalah satu perkara serius dan perlu dibendung.

“Akibat pengambilan kulit tangar akan menyebabkan dirian pokok bakau akan mati dan seterusnya dalam jangka panjang memberi kesan negatif ke atas Ekosistem Marin.

“Jenayah sebegini tambahan lagi ianya oleh orang asing yang memasuki negeri ini dan mencuri khazanah negeri perlu ditangani dengan cekap,” katanya.

Beliau juga mengalu-alukan orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada pihak Jabatan Perhutanan sekiranya menemui apa-apa jua aktiviti yang mencurigakan terutamanya di kawasan Hutan Bakau.

Mashor berkata, sebaik siasatan selesai empat suspek itu akan didakwa ke mahkamah sebagai pengajaran kepada mereka yang ada keinginan menceroboh hutan bakau.

“Jika dilihat Impak utama daripada tindakan pencerobohan ini boleh mengakibatkan pokok-pokok bakau mati. Mahal, ia akan merosakkan hutan bakau dan ekosistem akuatik yang sangat penting sebagai tempat pembiakan hidupan seperti ikan, udang dan ketam.

“Hutan Bakau yang tumbuh di persisiran pantai juga berfungsi sebagai zon penampan ombak besar atau Tsunami,” jelasnya.