4 Remaja Ditahan Dipercayai Pukul Bayi Hingga Maut

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SEMPORNA: Seorang bayi perempuan berusia 20 bulan maut dipercayai akibat dipukul dengan teruk oleh empat remaja pada pagi Jumaat lalu.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku ketika ibu bayi berkenaan meminta empat remaja itu yang berumur 16 hingga 19 tahun menjaga anaknya semasa dia keluar dari rumah mereka di Kampung Egang-Egang, Pulau Bum-Bum, Semporna.

Ketua Polis Semporna, Superintenden Sabarudin Rahmat berkata, kesemua remaja itu yang merupakan rakan serumah ibu mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Bayi itu menangis tanpa henti menyebabkan salah seorang suspek mula menampar dan membaling mangsa di atas tilam.

“Suspek kemudiannya menarik mangsa ke arahnya sehingga kepala bayi itu terhantuk pada tirai besi katil.

“Seorang lagi suspek kemudiannya memijak belakang mangsa,” katanya seperti dilaporkan hari ini.

Katanya, ketika ibu mangsa yang berusia 23 tahun dan telah bercerai balik ke rumah pada waktu tengah hari, dia mendapati bayinya itu dalam keadaan lemah, pucat dan tidak bernafas.

Menurutnya, ibu mangsa segera menghantar bayinya ke Hospital Semporna tetapi disahkan meninggal dunia enam jam kemudian.

“Ibu mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada pukul 7.30 malam. Suspek yang merupakan tiga warga Filipina serta seorang Indonesia ditahan pada pukul 9.30 malam,” katanya.