39 Warga China Terlibat ‘Macau Scam’ Didakwa Di Mahkamah

187

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Seramai 39 warga China yang didakwa terlibat dalam sindiket ‘Macau Scam’ dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa atas dua kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63.

Tujuh daripada 39 warga China itu dikenakan hukuman denda RM10,000 atas kesalahan tinggal di negara ini melebihi tempoh masa dibenarkan.

Sekiranya gagal membayar denda, setiap seorang daripada tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara lima bulan.

Hakim Azreena Aziz mengenakan hukuman denda itu ke atas empat lelaki dan tiga wanita warga China selepas ketujuh-tujuh mereka mengaku bersalah atas pertuduhan dibawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 atau penjara selama lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Hakim turut mengenakan hukuman denda RM4,000 setiap seorang ke atas 32 warga China yang mengaku bersalah memasuki Sabah tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Hakim turut memerintahkan kesemua tertuduh yang berusia antara 17 hingga 33 tahun itu dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia, Sabah setelah selesai menjalani hukuman.

Kesemua 39 warga China itu ditahan dalam serbuan ke atas dua premis berasingan pada 23 Oktober lalu.

Peguam Mohd Al-Hafidz Mohd Lokman yang mewakili kesemua tertuduh merayu kepada mahkamah agar kesemua anak guamnya dikenakan hukuman yang ringan.

Katanya, kesemua tertuduh tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan mereka menyesal atas perbuatan yang dilakukan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan kemudian meminta mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal ke atas setiap tertuduh. Kesemua tertuduh didakwa berkaitan dengan sindiket Macau Scam.

Pada 26 Oktober, terdapat laporan dalam akhbar tempatan bahawa sindiket ‘Macau Scam’ berjaya dipatahkan dan 80 warga China berjaya ditangkap.

Sindiket itu berjaya dipatahkan berikutan laporan polis yang dibuat pada 5 Disember 2018 oleh seorang lelaki yang mendakwa ditipu sejumlah RM1.4 juta selepas menerima panggilan telefon yang didakwa daripada Pegawai Polis Kanan dari Pulau Pinang.

Pemanggil mendakwa bahawa pengadu memiliki wang dalam akaunnya yang digunakan untuk pengubahan wang haram.

BERITA BERKAITAN :-

80 Anggota Sindiket Macau Scam Ditahan