35 Rumah Setinggan Musnah Terbakar Di Kampung Gelam Sandakan

554

SANDAKAN: Sebanyak 35 buah rumah setinggan di Kampung Gelam, berdekatan bandar Sandakan, musnah terbakar dalam kejadian kira-kira jam 1.40 awal pagi tadi (Ahad).

Ketua Zon Enam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Anddre Andrew berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 1.42 pagi lalu bergegas ke lokasi bersama 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan.

“Sebaik tiba, pada jam 1.50 pagi dengan menggunakan empat buah jentera dan dua kenderaan utiliti, didapati kebakaran membabitkan rumah setinggan dengan struktur kayu.
“Usaha mengawal api segera dilakukan. Pada jam 2.50 pagi, api berjaya dikawal sebelum operasi berakhir pada jam 4.32 pagi.

“Pemeriksaan awal mendapati, sebanyak 35 buah rumah terbakar,“ katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Anddre berkata, anggota bomba berjaya menyelamatkan sebuah bengkel membaiki kapal dan puluhan rumah setinggan berdekatan kawasan terbabit.

“Namun demikian, punca kejadian dan nilai anggaran kerugian sebenar masih dalam siasatan,” katanya.